I made this widget at MyFlashFetish.com.

SEJARAH SEKOLAH



                                             SEJARAH SEKOLAH


SMK Sultan Alauddin Riayat Shah I (SARSI) mula dibuka pada 7 Januari 1965 menggunakan nama 'SM Kebangsaan dan Inggeris Panchor' dan menumpang di bangunan SK Kg Melayu Panchor. Pada masa itu bilangan guru hanya seramai enam orang dan diketuai oleh En Abd Rajman Kasbon. Terdapat hanya (3) tiga buah kelas yang dijalankan pada sebelah petang kerana pada sebelah pagi bangunan sekolah berkenaan digunakan oleh SK Kg Melayu Panchor. Kumpulan pertama pelajar aliran kebangsaan menduduki peperiksaan SRP di situ pada tahun 1967.

Pada tahun ini juga bangunan tetap sekolah ini mula dibina di atas tapak seluas 15 ekar di Bukit Mentulang, Pagoh. Bangunan tersebut terdiri daripada 2 blok yang mengandungi 12 bilik darjah, bilik guru, makmal dan bilik SRT. Pada penggal ketiga tahun 1968 pelajar-pelajar SMK SARSI mula berpindah ke bangunan baru walaupun kemudahan asas masih belum lengkap.

Kumpulan pertama pelajar menduduki peperiksaan SPM pada tahun 1970. Pada tahun 1972 sebuah bangunan yang mengandungi 6 bilik darjah, makmal dan dewan dibina bagi menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat. Pada tahun ini juga PIBG ditubuhkan dengan di Pengerusikan oleh En A Aziz bin Abu Bakar. Mesyuarat jawatankuasa PIBG pertama telah mengambil keputusan untuk menukar nama Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan dan Inggeris Panchor kepada Sekolah Sultan Alauddin Riayat Shah I sempena dengan sejarah tempatan.

Pada 9 Jun 1990, SMK SARSI telah dirasmikan oleh YAB En Abd Ghafar Baba, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. YAB En Abd Ghafar juaga telah meluluskan peruntukan RM50,000 untuk menambah kemudahan Pusat Sumber Sekolah. Pada hari yang sama pihak sekolah juga telah memajukan permohonan untuk mendapatkan sebuah padang seluas 5 ekar bagi menambah padang yang sedia ada yang saiznya agak kecil.